Categories
AGENDA NASIONAL

PGA tahan tekong darat, 60 pendatang asing sembunyi dalam semak

SHAH ALAM, 6 NOV: Penahanan seorang tekong darat warga tempatan membongkar kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin menerusi Op Benteng Covid-19 di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rizal Mohamed berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 5 pagi.

Susulan itu pihaknya berjaya mengesan 60 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun yang bersembunyi di kawasan semak.

“Kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Mereka dipercayai baru tiba ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal berkata, operasi yang turut dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu turut merampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM61,400.

Katanya semua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis.