Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: KL City atasi Selangor FC 2-0

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Jaringan cantik masing-masing pada babak pertama dan kedua memastikan Kuala Lumpur (KL) City FC merakam kemenangan bergaya 2-0 ke atas Selangor FC pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kejayaan pada pertembungan ‘derby’ Lembah Klang itu menyaksikan skuad ‘The City Boys’ akhirnya mencatat kemenangan pertama di tempat lawan berdepan Selangor FC dalam mana-mana pertandingan selepas lebih dua dekad.

Pada aksi tersebut, Romel Morales mengejutkan Selangor FC menerusi tandukan padu pada minit ke-14 sekali gus mengubati kehampaan apabila jaringannya pada minit ke-10 dibatalkan pengadil perlawanan Mohd Nafeez Abd Wahab susulan kekasaran yang berlaku dalam kotak penalti pasukan lawan.

Kedudukan itu kekal hingga menghampiri masa penuh permainan sebelum Muhammad Hadin Azman mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-82 untuk memberikan bekalan selesa kepada KL City FC menjelang pertembungan suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Khamis ini.

Turut melakar kejayaan adalah Terengganu FC (TFC) yang memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas mengatasi Sarawak United FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, sekali gus selangkah untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

TFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim yang melakukan larian pantas sebelum merembat bola dari jarak jauh menewaskan penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Namun, kesilapan pertahanan TFC, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertanduk gol ke gawang sendiri pada minit ke-21 menghadiahkan gol penyamaan buat pasukan pelawat, sekali gus ‘membunuh’ kegembiraan 8,700 penyokong yang hadir.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu yang turun dengan misi mencari bekalan selesa untuk dibawa ke aksi kedua tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol kemenangan apabila Mohd Faiz Nasir melepaskan rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-51.

Baki babak kedua menyaksikan TFC terus mendominasi permainan dan memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menambah gol, tetapi gagal disempurnakan sekali gus kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, tonggak import Melaka United FC Sony Norde memastikan rentak cemerlang skuad ‘Sang Kancil’ dalam kempen Piala Malaysia beterusan selepas menjaringkan gol kemenangan untuk membantu pasukan mengatasi Sabah FC 1-0.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada 45 minit pertama permainan yang berlangsung sengit sebelum satu serangan balas di awal babak kedua bijak disudahkan Norde pada minit ke-52 menerusi rembatan kencang menewaskan penjaga gol tuan rumah Rozaimie Rohim.

Kemenangan itu menyaksikan Melaka United FC bimbingan Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen pertandingan itu musim ini.

Dalam pada itu, aksi tumpuan antara juara 2016 Kedah Darul Aman (KDA) FC dan penyandang juara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga juara Liga Super musim ini berakhir dengan keputusan 0-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kesemua perlawanan suku akhir kedua akan berlangsung pada Khamis.

– BERNAMA