KUALA LUMPUR, 19 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan nilai jualan produk pertanian jenama Ehsan mencecah RM23 juta dalam tempoh setahun di pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya berkata rangkaian produk berasaskan makanan itu bakal ditempatkan di pasar raya, premis jualan PKPS, pasar borong dan secara dalam talian dijangka mulai Januari depan.
Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi produk itu meliputi ayam segar, beras, minyak masak, gula, tepung, buah-buahan dan sayuran yang menjadi sumber pengeluaran utama hasil pertanian agensi tersebut.
“Pelancaran jenama Ehsan juga adalah salah satu strategi kita memperkasa sektor agro-makanan dengan menawarkan produk pertanian yang berkualiti pada harga berpatutan.
“Untuk tahun pertama kita menyasarkan nilai jualan sehingga RM23 juta dan tahun berikutnya meningkat kepada RM85 juta,” katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Majlis pelancaran logo jenama Ehsan itu juga disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan turut diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dr Mohamad Khairil berkata hasil jualan produk itu akan disalurkan secara terus kepada rakyat Selangor yang terkesan pandemik melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Mengulas mengenai sasaran tahun hadapan, beliau berkata PKPS akan terlibat secara aktif dalam aspek rantaian bekalan makanan agar jaminan bekalan dapat ditangani dengan lebih baik.
Persidangan SIBS 2021 edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2016 itu menghimpunkan jenama global dan pemain industri dari seluruh dunia.
Acara fizikal berkenaan menampilkan kira-kira 500 pempamer manakala bentuk mayanya boleh diakses melalui www.selangorbusinesshub.my melibatkan 800 reruai.
SIBS 2021 menampilkan ekspo khusus kepada empat sektor utama iaitu makanan dan minuman; produk dan perkhidmatan perubatan; penyelidikan,pembangunan dan inovasi serta taman perindustrian.