Categories
SELANGOR

Polis Selangor tahan tujuh lelaki terlibat judi dalam talian

SHAH ALAM, 28 NOV: Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor menahan tujuh lelaki disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Persiaran Anggerik Vanilla, Kota Kemuning petang semalam.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor DSP Zuhairee Mohamad Rashid berkata semua suspek yang berumur antara 20 dan 30-an itu ditahan dalam serbuan Ops Calling Centre pada pukul 5.30 petang, semasa sedang mempromosikan permainan judi dalam talian.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai jenis peralatan elektronik antaranya 28 unit telefon bimbit, empat unit pem­prosesan pusat (CPU), lapan unit monitor komputer, sebuah komputer riba dan dua unit modem dalam serbuan itu.

Katanya sindiket itu mempunyai sekitar 1,000 pelanggan dengan anggaran transaksi urus niaga perjudian RM30,000 hingga RM40,000 sehari, dan siasatan lanjut turut mendapati kondominium mewah yang disewa itu dijadikan pusat mempromosi serta menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan menyasarkan pelanggan tempatan.

“Mereka menggunakan laman web ‘www Club66’ bagi tujuan menganjur, mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian seperti jenis Kissme, mega888 dan rolex menggunakan aplikasi Whatsapp, Telegram dan WeChat.

“Kaedah transaksi juga dibuat secara dalam talian menerusi beberapa akaun disyaki akaun keldai yang dijadikan tempat memasukkan dan memindahkan wang kepada pelanggan tempatan,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a),(c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

-BERNAMA