Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan lima penyokong KL City FC

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Lima penyokong KL City FC ditahan semalam kerana menyerbu masuk ke padang selepas tamat perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun, telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Beliau berkata ujian air kencing terhadap semua suspek adalah negatif dan mereka dibebaskan selepas diambil keterangan dan kes diserahkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada keterujaan penyokong KL City FC, kerana pasukan itu berjaya melayakkan diri ke separuh akhir setelah 30 tahun.

“Dalam kejadian pada 11.10 malam itu, sekumpulan penyokong di kawasan penonton KL City FC memanjat pagar setinggi tiga meter, dan melompat masuk ke dalam kawasan padang dan menyerbu ke arah pemain KL City FC,” katanya dalam kenyataan semalam.

Muhammad Idzham berkata anggota polis yang bertugas kemudian berjaya menyuraikan keadaan.

Pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia itu, KL City FC menewaskan Selangor FC 1-0 sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 3-0.

– BERNAMA