Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prestasi pelaburan Selangor tahun ini tinggi berbanding 2020

SHAH ALAM, 29 NOV: Prestasi pelaburan semasa Selangor pada tahun ini masih menggalakkan, bahkan lebih tinggi berbanding 2020 walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri mencatat nilai pelaburan berjumlah RM3.39 bilion terdiri daripada pelaburan tempatan dan asing.

“Namun pada 2021, walaupun hampir enam hingga tujuh bulan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita menerima pelaburan RM 4.64 bilion bagi tempoh sama yang mana RM4.06 bilion pelaburan tempatan dan RM576 juta terdiri daripada pelaburan asing.

“Pelaburan asing pada 2020 dan tahun ini ada perbezaan besar disebabkan impak penutupan sempadan yang beri kesan langsung pada prestasi pelaburan. Selain itu jumlah projek kekal bagi 2020 dan tahun ini iaitu 122 projek dan peluang pekerjaan pula menawarkan 5,001 tahun lepas manakala tahun ini 9,179,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung impak pandemik Covid-19 kepada prestasi pelaburan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung kadar premium Selangor lebih tinggi berbanding negeri lain Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri sentiasa mempercepat dan memperkemas perkara itu berbanding menurunkan harga kerana ia mengganggu kitaran dan perkembangan pasaran.

Menurut Amirudin, perkara ini sememangnya kenyataan yang harus diterima yang mana nilai tanah di Lembah Klang tidak hanya di Selangor lebih tinggi berbanding negeri dan kawasan lain.

“Kerajaan Negeri sentiasa cuba percepat dan perkemas perkara ini tetapi akhirnya beberapa syarikat yang memilih negeri di utara dan pantai timur kerana harga murah terpaksa mengeluarkan kos tinggi disebabkan perlu menanggung kos pengangkutan.

“Apa yang difokus dan diperkemas Kerajaan Negeri bukan nilai harga tetapi nilai prestasi dan penyampaian,” katanya.