Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: 16 kompaun dikeluar kepada parti politik langgar SOP

MELAKA, 15 NOV: Sebanyak 16 kompaun bernilai RM198,000 dikeluarkan kepada parti politik dan individu yang dikesan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pilihan raya negeri (PRN) Melaka sejak 25 Okt hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata daripada jumlah itu, 11 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (dua) manakala Pasukan Bersepadu (tiga).

Beliau berkata kompaun dikeluarkan antaranya kerana berkempen dari rumah ke rumah bertujuan mengedarkan risalah kempen secara bersemuka, berkempen di kedai makan secara berkumpulan dan membuat siaran media secara terbuka di lokasi melibatkan kehadiran ramai.

“Selain itu, kesalahan yang turut dikesan ialah mengadakan aktiviti parti di bilik mesyuarat yang kecil dan melanggar SOP yang ditetapkan iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu tempat mesyuarat serta membuat aktiviti melibatkan kehadiran penyokong yang ramai seperti tinjauan mesra.

“Secara keseluruhan, tahap kepatuhan parti politik yang bertanding pada PRN Melaka adalah 95 peratus dan pemantauan akan terus dipertingkatkan agar pematuhan SOP dipatuhi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Razali berkata dalam tempoh sama pihaknya membuat 130 laporan polis kerana parti politik melanggar SOP secara bukan kompaun dengan 41 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata selain itu, pihaknya meluluskan 62 permit untuk parti politik mengadakan ceramah menggunakan kenderaan bermula 8 Nov hingga hari ini dan kesemua permit berkenaan diluluskan.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya menjalankan beberapa latihan amali untuk mengelakkan pusat pengundian awal diganggu gugat atau berlaku perkara yang tidak diingini.

-BERNAMA