MELAKA, 15 NOV: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa ke Melaka bagi membantu persiapan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri (PRN).
Dalam lawatannya, Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Rambai, Rim, Asahan, Machap Jaya, Rembia dan Ayer Molek.
Turut dilawati pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor itu ialah Tanjung Bidara, Sungai Udang, Lendu, Paya Rumput, Kelebang dan Kota Laksamana.
Amirudin turut menyantuni peneroka Felda Bukit Senggeh selama 30 minit dan mendengar perkembangan setempat daripada lapan peneroka generasi pertama felda terbabit.

Persatuan Nelayan Melaka Barat juga mengambil peluang menyuarakan keluhan ketika beliau meninjau Pengkalan Nelayan Sungai Kertah bersama calon DUN Tanjung Bidara Zainal Hassan.
Kehadiran pemimpin tertinggi Selangor itu dihargai calon DUN Sungai Rambai Farzana Hayani Mohd Nasir bagi membantunya berkempen selain menyokong jentera parti.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Media (Penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berharap pengundi dapat menilai tekad dan kesungguhannya menjaga kebajikan masyarakat.
Bagi calon DUN Paya Rumput Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin, kejayaan HARAPAN khususnya KEADILAN Selangor mentadbir selama tiga penggal menjadi bahan kempen PRN Melaka.
Selain menghantar jentera parti, Amirudin turut menggerakkan sukarelawan Team Selangor sebagai sebahagian daripada pasukan sokongan untuk mendekati pengundi.