Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Proses undi awal mula 8 pagi ini

MELAKA, 16 NOV: Proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 8 pagi ini yang menyaksikan 11,557 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Proses pengundian berlangsung di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA) di 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negeri sehingga 5.30 petang ini.

Pusat Pengundian Awal berkenaan termasuk di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Sekolah Kebangsaan Kem Terendak I dan II, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, IPD Melaka Tengah dan IPD Jasin selain beberapa balai polis.

Ejen calon dan pemerhati pilihan raya yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibenar menyaksikan proses pengundian awal itu, yang akan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR.

Proses pengundian berlangsung dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan SPR untuk mencegah penularan Covid-19 dan pengundi yang hadir perlu memakai pelitup muka, melakukan saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi tangan serta mengimbas kod QR MySejahtera, sebelum masuk ke PPA.

SOP baharu proses pengundian awal PRN Melaka hari ini juga akan menyaksikan penggunaan berus pakai buang bagi mencalit dakwat pada jari pengundi yang dikesan mempunyai suhu melebihi 37.5 darjah Celsius, bergejala batuk dan selesema.

Bagi mengelakkan kesesakan di tempat mengundi, empat slot waktu kehadiran mengundi ditetapkan dan pengundi boleh menyemaknya menerusi aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR.

Slot waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada 20 Nov ini.

-BERNAMA