Categories
PBT SELANGOR

Program Lepak Seni MBSA kembali secara fizikal Ahad ini

SHAH ALAM, 24 NOV: Program Lepak Seni @ Kedai Kopi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kembali secara fizikal mulai Ahad ini.

Bermula jam 4.45 petang hingga 6.45 petang, program diadakan di kawasan Kedai Kopi 1, Taman Tasik Shah Alam, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad.

Beliau menjelaskan program diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada kumpulan PADAT selain pemuzik jalanan oleh Trio Jaybonz dan kumpulan Angklung.

“Pelbagai kegiatan menarik akan diadakan di samping memberi peluang kepada pengunjung untuk beriadah dan bersantai di Taman Tasik Shah Alam.

“Inisiatif MBSA ini dapat menyemarakkan aktiviti seni budaya dan memberi peluang kepada golongan kreatif untuk berkarya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shahrin, turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berumur empat tahun sehingga 12 tahun, perpustakaan bergerak MBSA dan aktiviti kraf penanda buku.