Categories
EXCO SELANGOR

Pulihara nilai sejarah, negeri terus kaji artifak di Jeram

SHAH ALAM, 30 NOV: Kajian terhadap penemuan beberapa artifak sekitar Jeram masih diteruskan negeri sehingga kini, kata EXCO kebudayaan dan warisan.

Borhan Aman Shah berkata perkakas berupa peluru meriam, mata wang dan pecahan seramik dijumpai dua tahun lalu hasil galian arkeologi di tapak berkenaan.

Beliau memaklumkan sumber manuskrip berkaitan Jeram juga ditemui di School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London pada tahun sama.

“Perbadanan Adat dan Warisan Negeri (Padat) mendokumentasikan sejarah awal Jeram melalui kajian lapangan mulai abad ke-15 Masihi bagi membuktikan kewujudan kawasan tersebut,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Jeram Mohd Shaid Rosli berhubung usaha Padat mencari dan memulihara nilai adat serta sejarah kawasan terbabit.

Sementara itu, Borhan berkata Padat juga sedang mengkaji dan mendapatkan maklumat berkaitan bangunan warisan dan tinggalan di kawasan sekitar.

Menurutnya, bangunan tersebut meliputi stesen kereta api dan pejabat pos lama serta Bangunan Condong di Kampung Bukit Kuching.

“Usaha penyelidikan ini mendapat perhatian Kerajaan Negeri terutama dari segi peruntukan dalam usaha mendapatkan data terkini bagi sejarah Selangor,” katanya.