Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Puluhan rumah di Sabak Bernam dilimpahi air, namun terkawal

SHAH ALAM, 6 NOV: Fenomena air pasang besar awal pagi tadi mengakibatkan 31 rumah dan kedai sekitar Sabak Bernam dilimpahi air, namun tiada mangsa dipindahkan.

Kawasan terjejas dalam kejadian antara jam 4 hingga 7 pagi meliputi Dataran Pantai Batu 23 Sungai Nibong, Dataran Pantai Bagan Nahkoda Omar, Kampung Baharu dan Kampung Nelayan.

Laporan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor menunjukkan limpahan air berada pada paras antara 150 hingga 300 milimeter selain tidak hujan.

Sebanyak 30 rumah dan kedai terjejas di Dataran Pantai Batu 23 dan Dataran Pantai BNO manakala hanya sebuah rumah dinaiki air di Kampung Baharu.

Susulan itu, Majlis Daerah Sabak Bernam dicadang menutup lubang di bahagian kiri dan kanan jeti yang sedang dalam pembinaan sebagai penyelesaian jangka pendek isu banjir.

Unit bencana turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan itu termasuk Jabatan Kerja Raya menaik taraf benteng Pantai Batu 23 dan meninggikan jalan di kawasan terbabit.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar akan melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu turut dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Beberapa kedai sekitar Sabak Bernam dilimpahi air susulan fenomena air pasang besar di daerah itu pada 6 November 2021. Foto Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor