Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rancangan Selangor Satu jadi pelan percepat pemulihan pasca pandemik

SHAH ALAM, 26 NOV: Buat julung kali, Selangor akan memiliki pelan lima tahun ke hadapan melalui Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang dilancarkan suku pertama 2022.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rancangan 2022 hingga 2026 menumpukan usaha mempercepat proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dan memacu agenda pembangunan negeri.

Katanya, pelan itu berperanan sebagai dokumen strategik yang menyelaras agenda pembangunan semua peringkat meliputi pejabat tanah dan daerah, pihak berkuasa tempatan serta persekutuan.

“Pelan pembangunan lima tahun Selangor bermula sejak awal tahun ini melibatkan proses konsultasi dan libat urus pihak berkepentingan di peringkat negeri, persekutuan dan swasta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata peringkat awal fasa pemulihan Covid-19 mendorong pihaknya mengenal pasti strategi memperkukuh sektor ekonomi dan taraf hidup rakyat demi masa depan yang lebih cerah.

“Langkah dan strategi yang kita laksanakan bukan sahaja kritikal untuk Selangor dan rakyatnya, tapi turut memberi impak kepada masa depan negara,” katanya.