Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rebat sewa ringankan beban 600 peniaga PKNS ketika pandemik

SHAH ALAM, 9 NOV: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menawarkan dua pakej rebat bagi membantu lebih 600 penyewa runcit mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pakej pertama meliputi pengecualian sewa tiga bulan dari Oktober hingga Disember jika peniaga membayar penuh tunggakan sehingga Mei, kata pemangku pengurusnya.

Manakala pakej kedua pula pengecualian sewa satu setengah bulan mulai Oktober jika membayar 50 peratus tunggakan sehingga Mei, jelas Syahril Mohd Rashid.

“Ini adalah salah satu inisiatif membantu peniaga yang terkesan akibat Covid-19 dan majoriti penyewa memilih pakej pertama,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata peralihan Selangor ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara melegakan penyewa berikutan operasi perniagaan kembali normal dengan tambahan pengunjung.

Sementara itu, Syahril berkata PREC sedang mengumpul vendor atau usahawan untuk memulakan kembali pasar karat di pusat beli-belah SACC sekitar Disember.

“Buat masa ini vendor sedang bersiap sedia kerana bercuti lama susulan pandemik. Kita mahu mengekalkan keunikannya iaitu barangan vintaj,” katanya.

SACC Walk Flea Market dilancarkan pada 8 Februari 2019 dan dibuka setiap Jumaat hingga Ahad mulai jam 6 petang hingga lewat malam.

Selain dipenuhi barangan vintaj dan unik, pasar itu turut menyediakan perniagaan kendera saji serta Pasar Agro Selangor pada setiap Jumaat.