Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Rezeki jual kudapan bantu rawatan isteri

Pilu hati seorang suami melihat isteri menderita sakit kencing manis. Acap kali dimasukkan ke hospital sehingga berminggu-minggu lamanya.

Tiada siapa boleh menjaga melainkan Nor Haisiam Hashim sendiri. Anak seramai lima orang diuruskan sendiri. Mujur semua matang dan boleh diharap.

Sedikit sebanyak mengurus kerja rumah. Tatkala itu beliaulah bapa dan ibu yang memasak. Ada masanya kehabisan beras, tiada untuk dimakan.

Jika anak-anaknya dapat hidangan nasi lauk telur goreng berkuahkan kicap sudah cukup mewah padanya. Masakan tidak, kos perubatan isterinya menekan belanja rumah.

Pekerjaannya juga hilang gara-gara majikan tidak membenarkan cuti tanpa gaji untuk menjaga isteri.

Namun kasih sayang dan cinta terhadap isteri mengatasi segalanya dan beliau tetap reda dengan ujian menimpa dirinya.

Bapa berumur 51 tahun itu menguatkan semangat demi membaiki kehidupan dengan berniaga kecil-kecilan.

Nor Haisiam Hashim menceritakan pengalamannya terpaksa meninggalkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di syarikat keselamatan demi menjaga isteri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau memperkenalkan barang jualan seperti popiah Nestum, popiah sira, acar buah, kuah laksa dan burger rangup.

Melalui perniagaan dijalankan sedikit demi sedikit kehidupan Nor Haisiam sekeluarga semakin bertambah baik. Kini produknya turut dipasarkan melalui agen dan pemborong di beberapa negeri.

Hilang kerja

Dua tahun lalu hidup Nor Haisiam diibaratkan sebagai jatuh ditimpa tangga.

Isteri tercinta Noor Zainida Zainal Abidin, 45, sakit teruk menyebabkan beliau memohon cuti tanpa gaji untuk menjaga dan mengurus keluarga.

Malangnya, permohonan ditolak mentah-mentah dan kerana kecewa dengan majikan, pada September 2019 Nor Haisiam nekad berhenti kerja.

“Tak mengapalah, rezeki ada di mana-mana,” bisik hatinya.

Pada waktu itu berat hatinya meninggalkan pekerjaan sebagai pengurus operasi di syarikat keselamatan. Apalagi itulah satu-satunya sumber pendapatan.

Tanpa menoleh, pada penghujung 2019 beliau dibantu anak kedua, Noor Izzah Fahdillah, 20, berniaga kecil-kecilan menjual popiah nestum dan popiah sira di media sosial.

Kalau sebelum ini kerjanya tidak tentu masa, kini dia dapat lebih banyak masa menjaga isteri di rumah.

Bagaimanapun pendapatan berniaga tidak menentu. Lebih-lebih lagi bagi produk yang belum dikenali. Pada bulan pertama, hendak dapat jualan RM100 pun cukup seksa.

Keadaan itu cukup merisaukan apabila memikirkan perut yang perlu diisi dan belanja pendidikan anak. Empat anaknya masih bersekolah termasuk seorang yang menuntut di Universiti Sains Malaysia.

“Beberapa kali terputus beras. Makan pun bercatu. Kadang-kadang cuma ada nasi, telur dan kicap sahaja. Nak makan ayam memang susah.

“Kalau sepapan telur dapatlah bertahan tiga ke empat hari. Makan siang dan malam semua lauk telur sahaja,” katanya.

Bantuan LZS

Selain itu, beliau turut berhadapan kekangan modal pusingan.

Pernah sekali satu-satunya kereta dimiliki rosak. Maka terpaksa menebalkan muka meminjam dengan rakan.

Malangnya, tidak berapa lama selepas itu, keretanya kembali rosak. Kali ini lebih teruk. Lebih RM2,000 diperlukan. Mujur Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudi membantu membayar sebahagiannya.

Produk jualan Nor Haisiam turut dipasarkan melalui agen dan pemborong di beberapa negeri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

LZS juga membantu perbelanjaan bulanan dan pendidikan anaknya. Dapatlah bernafas sedikit.

Selepas isteri beransur sihat, Nor Haisiam berhasrat mengembangkan lagi perniagaan bagi menambah pendapatan dengan berniaga burger rangup.

Beliau bernasib baik apabila pada tahun ini LZS melalui Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) membantu dengan membiayai pembelian peralatan seperti kuali, peti sejuk beku dan dapur goreng elektrik.

Berbekalkan peralatan dibiayai LZS, Nor Haisiam memulakan perniagaan. Istimewanya, daging burger dibuat sendiri menggunakan daging ayam kisar yang diadun dengan ramuan istimewa.

Melalui jualan di gerai berhampiran rumah dan tempahan dalam talian beliau mampu menjual hampir 100 biji burger sehari. Namun sekatan dikenakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 menyebabkan jualannya jatuh.

Bagaimanapun, beliau masih bernasib baik. Popiah Nestum, popiah sira, acar buah dan kuah laksa pula semakin mendapat sambutan.

Ketika ini beliau sudah mempunyai agen dan pemborong yang memasarkan produknya di beberapa daerah di Selangor, Johor, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.

“Mula-mula memang susah nak jual sebab orang belum kenal produk kita tetapi sekarang boleh dapat jualan lebih RM1,000 seminggu,” katanya ketika ditemui Selangorkini di kediaman beliau di Gombak pada 5 November.

Mengakui masih terkial-kial dalam perniagaan, namun Nor Haisiam lega kerana sekurang-kurangnya beliau mampu mengubah taraf keluarganya lebih baik.

Nor Haisiam berharap suatu hari nanti beliau mampu membantu asnaf lain memperbaiki kehidupan dengan berniaga.

“Saya berharap semoga suatu hari nanti saya pula menjadi pembayar zakat. Saya ingin membantu asnaf lain baiki kehidupan dengan berniaga,” katanya.