Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

RM200,000 disalur untuk pemeriksaan mata pelajar

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Negeri akan menyalurkan sebanyak RM200,000 bagi pemeriksaan mata bagi pelajar yang memerlukan berikutan jumlah permohonan membuat kaca mata di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri didapati meningkat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelajar-pelajar berkenaan berhadapan masalah penglihatan berikutan mereka terpaksa menjalani aktiviti pembelajaran secara dalam talian sepanjang tempoh perjalanan terhad akibat Covid-19.

“Terdapat dalam kalangan mereka (pelajar) yang mengalami keletihan mata yang melampau. Justeru, Kerajaan Negeri untuk 2022, akan memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mata anak-anak di seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata inisiatif dinamakan Pemeriksaan Kesihatan Mata itu diperkenalkan susulan pelajar terpaksa berhadapan skrin komputer atau alat peranti dalam tempoh panjang berikutan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berlarutan akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius terhadap tahap kesihatan mata anak-anak ini, yang sememangnya kelas di dalam talian memerlukan mereka memberi fokus di luar kebiasaan berbanding kelas pengajian secara fizikal,” katanya.