Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM3 juta perkenal skim pendidikan anak Selangor

SHAH ALAM, 26 NOV: Sejumlah RM3 juta diperuntuk bagi melaksana skim Iltizam Anak Selangor yang menyasarkan penyertaan 30,000 kanak-kanak di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim berkenaan membabitkan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak yang baru lahir.

“Seramai 30,000 anak-anak yang memohon akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Jelas beliau, program baharu itu diperkenal kerana pentingnya mengurus kewangan yang mampan di peringkat isi rumah.

Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM27.5 juta bagi meneruskan pelaksanaan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tahun depan.

Amirudin berkata Iltizam Sayang Usia Emas berjaya menghimpunkan 402,000 ahli SMUE berdaftar yang mendapat manfaat baucar beli-belah RM100 pada bulan kelahiran dan khairat kematian bernilai RM500.