Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM455 juta dilulus atasi banjir 50 kawasan di Selangor

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan persekutuan meluluskan sebanyak RM455 juta bagi tindakan jangka masa panjang penyelesaian isu banjir di Selangor.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata dengan peruntukan itu Kerajaan Selangor akan berusaha meminimumkan kejadian banjir di 50 kawasan titik panas di sembilan daerah di negeri ini.

“Kita juga telah memohon daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 sebanyak RM1.35 bilion bagi menaik taraf lima projek rancangan tebatan banjir (RTB),” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selain itu, Ir Izham menjelaskan sebanyak RM250 juta peruntukan pembangunan negeri turut diluluskan bagi tindakan jangka pendek dan panjang menangani isu banjir di negeri ini.

Berikut lima RTB yang perlu dibaik pulih secara menyeluruh :
1) RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar (Klang)
2) RTB Sungai Langat Fasa 2 (Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat)
3) RTB Sungai Buloh Fasa 2 (Petaling dan Kuala Selangor)
4) RTB Anak Sungai Udang Fasa 2 (Selayang dan Gombak)
5) RTB Sungai Kundang (Bandar Baru Kundang, Rawang)