Categories
AGENDA NASIONAL

RM880,000 bagi kempen kesedaran bebas plastik

Oleh NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM880,000 bagi kempen bebas plastik, polisterina, kutipan minyak masak terpakai dan bebas straw plastik pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha alam sekitar itu dipergiatkan memberi kesedaran kepada pengguna.

“Kerajaan Negeri sentiasa menjadi perintis dalam pelbagai kempen kesedaran termasuk kempen bebas plastik dan polisterina, kutipan minyak masak terpakai dan kempen bebas straw plastik.

“Bagi menggiatkan lagi kempen ini, sejumlah RM880,000 diperuntukkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperluaskan pusat kitar semula (MRF) ke setiap daerah di Selangor.

Katanya, pada masa ini, KDEB Waste Management membina dua MRF di Jalan Korporat, Meru dan Bukit Puchong, Subang Jaya yang menguruskan 20 tan barang kitar semula sehari.

“Dua MRF ini mampu menguruskan kira-kira 20 tan barang kitar semula sehari dan akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri Selangor untuk mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar,” katanya.