Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rosyam Nor ‘tabik’ usaha Selangor anjur ekspo, bantu usahawan ketika pandemik

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Pelakon dan penerbit terkenal tanah air Datuk Rosyam Nor menghargai usaha Kerajaan Negeri menganjurkan Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) makanan dan minuman (F&B) 2021 yang merupakan sebahagian acara Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021.

Menurut pelakon filem Castello itu, ekspo seperti ini sebenarnya dapat memperkenalkan produk tempatan di pasaran Malaysia mahupun luar negara.

“Memasarkan sesuatu produk bukan mudah terutama ketika pandemik Covid-19. Oleh demikian, kita berharap dengan adanya ekspo ini dapat memperkenalkan produk Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selain itu, kita juga menyasarkan dengan penyertaan dalam ekspo ini dapat mengembangkan perniagaan dengan mencari rakan kongsi dan menambah ejen,”katanya kepada SelangorKini.

Rosyam Nor berkata produk Adraa yang berasaskan durian belanda dan kaya dengan antioksidan mula berada di pasaran pada 2018 selain ia merupakan antara perniagaan baharunya.

“Tiga produk tersebut ialah Adraa Graviola Gold merupakan pati minuman campuran durian belanda, teh daun durian belanda dan jus minuman.

“Produk durian belanda ini memberi impak pada kesihatan dan membantu menguatkan sel dalam badan. Orang ramai yang berminat boleh menghubungi 0193393448,”katanya.

SIE (F&B) 2021 sebahagian program Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 selama empat hari bermula 18 November yang berlangsung secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.