Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rumah pam sementara kurangkan risiko banjir sekitar Sri Muda

SHAH ALAM, 17 NOV: Pembinaan rumah pam sementara di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 mampu mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran.

Menempatkan dua pam berkapasiti 200 liter sesaat, EXCO infrastruktur berkata ia berfungsi secara automatik bagi menyedut air jika paras Sungai Rasau naik.

“Ini kawasan pertemuan (air) Sungai Klang, Sungai Rasau serta aliran dari perumahan penduduk dan industri. Bila hujan lebat, air naik tinggi dan pintu air terpaksa ditutup.

“Jadi pam ini akan berfungsi sedut air dengan cepat. Kalau tidak, air akan melimpah ke kawasan perumahan. Cuma pam ini perlu dijaga dan diperiksa selalu untuk elak sampah,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas meninjau rumah pam bernilai RM770,000 bersama EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi yang juga wakil rakyat Kota Kemuning V Ganabatirau.

Ir Izham berkata masalah banjir di Sri Muda, Bukit Kemuning, Bukit Rimau dan Bukit Naga diatasi sepenuhnya menjelang 2023 selepas pembesaran kolam dan pembinaan rumah pam kekal siap.

“Projek itu bernilai RM10 juta dan sedang dilaksanakan dengan dua pam air lebih besar. Sepatutnya siap lebih awal namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, proses lambat,” katanya.

V Ganabatirau sebelum ini meminta pihak bertanggungjawab menaik taraf longkang dan sistem perparitan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan banjir yang merisikokan 16,000 penduduk.