Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan kesihatan percuma diperkenal, manfaat 5,000 orang

SHAH ALAM, 26 NOV: Mulai tahun hadapan, 5,000 individu dijangka mendapat manfaat pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dengan membabitkan peruntukan RM1.5 juta, Program Saringan Kesihatan Percuma (Saring Selangor) akan dijalankan di semua peringkat komuniti.

“Melihat kepada risiko jangkitan penyakit Covid-19 adalah tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah penyakit atau komorbid, Kerajaan Negeri menyedari bahawa adalah penting bagi rakyat menjalani saringan kesihatan secara berkala.

“Hal ini bagi memastikan sebarang penyakit dapat dikesan di peringkat awal, sekali gus rawatan awal dapat dilaksanakan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Bimbang wabak Covid-19 kembali menular, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM500,000 sebagai persediaan awal menghadapi ancaman berkenaan.

Kata Amirudin, susulan itu pihaknya akan menambah dan mempelbagaikan program kesedaran berkaitan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan menambah baik sistem sokongan kepada pesakit yang dijangkiti.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi fokus kepada pengurusan Covid-19 di Selangor dalam memastikan aktiviti ekonomi dan sosial dapat berjalan seperti sedia kala.

“Dalam masa yang sama, kita perlu menerima hakikat bahawa virus ini akan hidup bersama dengan kita dan negara sudah memasuki fasa endemik,” katanya.