Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SDEC 2021 tampil Siti Nurhaliza, fokus pulih ekonomi digital

SHAH ALAM, 5 NOV: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akan membuat penampilan istimewa pada Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 yang dijangka berlangsung 19 hingga 21 November ini.

Siti Nurhaliza yang juga usahawan akan menampilkan produk jenamanya iaitu SimplySiti, kongsi penganjur konvensyen, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Facebooknya.

Agensi itu berkata konvensyen digital terbesar yang memasuki edisi keenam penganjuran itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bertemakan Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi.

“SDEC 2021 adalah acara tahunan di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang mengumpul pemain industri, ahli akademik, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan individu dari pelbagai sektor.

“Mereka akan berkongsi dan mempamerkan kepelbagaian pendigitalan untuk ekonomi digital dan masa hadapan,” katanya di sini, semalam.

Mereka yang ingin membeli tiket berharga RM79 untuk tiga hari ke konvensyen berkenaan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/sdec2021.

Layari www.sidec.com.my/sdec2021 untuk maklumat lanjut.