Categories
AGENDA NASIONAL

Sedia awal hadapi kemarau panjang menjelang 2026

SHAH ALAM, 17 NOV: Belanjawan #Selangor2022 diharap merangka persediaan awal bagi berdepan kemarau panjang yang dijangka pada 2026, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perancangan teliti perlu dimulakan sekarang bagi mengelak masalah meskipun ramalan tersebut dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Persiapan tidak boleh saat akhir. Kita akan lihat sumber air mentah kebanyakan milik persendirian. Kita kena bincang termasuk pemasangan paip supaya bila sampai masa kita terus guna.

“Air empangan sekarang memang tidak cukup, hanya separuh daripada keperluan sahaja,” katanya selepas meninjau rumah pam di pintu air Taman Sri Muda, Seksyen 25 hari ini.

Wakil rakyat Pandan turut berharap dana besar bagi menaik taraf jalan raya negeri yang uzur demi kepentingan dan keselamatan orang ramai.

Selain itu, Ir Izham berkata rangkaian internet perlu diperluas ke seluruh negeri dan dibincangkan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Semalam terima banyak aduan tentang syarikat telco. Banyak kawasan terputus internet, tidak boleh berhubung. Kita negeri maju jadi kena tumpu bagaimana untuk tingkat isyarat komunikasi,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor serta portal.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.