Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah kerjasama dengan pelbagai pihak kumpul data

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Aplikasi mudah alih yang dibangunkan negeri, Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam pengumpulan data.

Pengarah Projeknya Dr Helmi Zakariah berkata salah satu rakan kongsinya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia membantu mengeluarkan diagnosis kesihatan mental.

“Kami berharap usaha itu dapat diterjemahkan daripada analisis tahap kesihatan penduduk kepada data penjagaan peribadi pada masa hadapan,” katanya pada Persidangan Kesihatan Selangor 2021 semalam.

Persidangan itu sebahagian acara Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 yang berlangsung secara hibrid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 18 November.

Aplikasi SELangkah diperkenalkan pada Mei 2020 untuk memudahkan pemantauan orang ramai susulan pandemik Covid-19 dan tempoh perintah kawalan pergerakan.

Mula dibangunkan bagi mengesan kontak rapat, ia kemudian berkembang dengan pelbagai ciri termasuk e-dompet dan Selangor Mental Sehat untuk menangani isu kesihatan mental.