Categories
AGENSI SELANGOR

SELangkah perkenal fungsi tempahan saringan Covid-19, beli kit ujian kendiri

SHAH ALAM, 5 NOV: Tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri antara fungsi terbaharu yang diperkenal dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Berdasarkan paparan pada notifikasi SELangkah, fungsi itu diperkenal pada 1 November lalu dan orang ramai perlu mengemaskini aplikasi untuk menggunakan fungsi berkenaan.

“Kini melalui aplikasi ini anda boleh membuat janji temu untuk menjalani ujian saringan Covid-19 atau boleh beli terus kit ujian kendiri dan pilih untuk ambil sendiri atau hantar ke rumah,” kata notifikasi berkenaan.

SELangkah juga menggalakkan orang ramai terutama yang ingin melancong untuk menempah kit ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

“Singgah di farmasi pilihan anda dan ambil ketika hendak ke lapangan terbang,” katanya menerusi Facebook.

SELangkah mula diperkenalkan 4 Mei tahun lalu bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Aplikasi itu terus diperkemas dengan orang ramai yang mahu menjalani saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Selangor perlu mendaftar melalui SELangkah.