Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

SELangkah rekod 6.7 juta pengguna sejak tahun lalu

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sekitar 6.7 juta pengguna memilih Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sejak aplikasi itu dilancarkan pada 4 Mei tahun lalu.

Sebanyak 44 peratus pengguna direkodkan di Lembah Klang manakala selebihnya dari negeri lain termasuk Johor dan Pulau Pinang, kata pengarah projeknya.

Dr Helmi Zakariah menjelaskan kebanyakan pengguna dari negeri lain menggunakan aplikasi itu untuk pelbagai fungsi lain yang tidak terhad di Selangor.

“Ini termasuk ciri Selangor Mental Sehat (SEHAT), perunding isu kesihatan mental yang terbuka kepada semua,” katanya menambah seramai 2,700 pengguna menggunakan ciri itu setakat minggu lalu.

Beliau ditemui pada Persidangan Kesihatan Selangor 2021 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan susulan pandemik Covid-19.

Melaluinya, pengguna boleh mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal skala tekanan dan pemeriksaan risiko secara kendiri.