Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor belanja lebih RM250,000 bantu penghuni rumah perlindungan Mais

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri memperuntuk RM271,000 kepada rumah perlindungan dan pemulihan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sepanjang dua tahun program itu dijalankan.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata daripada jumlah itu sebanyak RM116,000 disumbang pada tahun lalu melibatkan 29 rumah manakala RM155,000 membabitkan 31 rumah tahun ini.

Menurutnya, setiap rumah tersebut masing-masing menerima sumbangan bernilai RM5,000 bagi meningkatkan motivasi kepada pengusaha dalam menyantuni golongan asnaf riqab.

“Kita harap inisiatif ini sedikit sebanyak membantu memastikan pembangunan sosial dalam kalangan penghuni rumah berkaitan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Pada masa sama, mampu melahirkan masyarakat madani yang mempunyai sahsiah diri cemerlang selaras dengan misi dan visi Selangor sebagai negeri ‘Smart and Caring’ (bijak dan penyayang),” katanya menerusi kenyataan.

Sumbangan diadakan menerusi Majlis Santuni Rumah Perlindungan / Pemulihan dan Kebajikan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Pengarah Pembangunan Sosial Mais Suhaimi Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terhadap usaha dalam membantu golongan asnaf riqab.

“Semoga sumbangan yang diberi menjadi suntikan semangat kepada semua pengusaha dan pengurus rumah terbabit untuk meneruskan bakti serta keringat dalam memastikan golongan asnaf riqab terus terpelihara,” katanya.

Antara penerima sumbangan adalah Rumah Kebajikan Darul Lil Banat, Pertubuhan Usrah Fitrah, Pusat Jagaan Amal Hasanah, Rumah Puteri Arafiah, Pusat Pemulihan Baitul Islah, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan dan Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman.