Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor bentang Belanjawan 2022 berjumlah RM2.34 bilion

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan Selangor hari ini membentangkan Belanjawan 2022 dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM2.34 bilion dalam usaha meningkatkan manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negeri.

Jumlah tersebut lebih tinggi RM20 juta berbanding tahun lalu iaitu RM2.32 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.22 bilion atau 52 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1,12 bilion atau 48 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

“Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.05 bilion.

“Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2022 adalah premium tanah sebanyak RM906.33 juta bersamaan 44.21 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222.7 juta.

“Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding tahun 2021 bagi penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif bagi mengukuhkan pemacuan ekonomi pasca pandemik Covid-19 sekali gus membina negeri tahan uji dalam pelbagai aspek,” katanya.

Dengan tema Kita Selangor: Negeri Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani, Amirudin menggariskan lima teras utama iaitu:

  • Memaju pertumbuhan negeri berimpak tinggi
  • Membangun masyarakat penyayang dan kesejahteraan sosial
  • Mengukuhkan agenda kesihatan awam, mewujudkan persekitaran hijau dan Pembangunan Lestari
  •  Mengoptimumkan teknologi pintar dan digitalisasi
Perbelanjaan mengurus (RM1.220 bilion)
  • Emolumen (RM446.73 juta)
  • Perkhidmatan dan bekalan (RM530.81 juta)
  • Aset (RM11.79 juta)
  • Pemberian dan bayaran tetap (RM191.14 juta) serta
  • Perbelanjaan lain (RM39.53 juta)
Perbelanjaan pembangunan (RM1.123 bilion)
  • Pembangunan Infrastruktur (RM351.78 juta)
  • Pembangunan sosial (RM301.57 juta)
  • Pembangunan ekonomi (RM292.28 juta)