Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC miliki kelebihan, Bojan anggap KL City pasukan bukan pilihan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Status sebagai Juara Kumpulan A selain rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia 2021 setakat ini bukan jaminan bagi Kuala Lumpur (KL) City FC untuk muncul sebagai pasukan pilihan dalam pertembungan suku akhir dengan Selangor FC.

Ketua Jurulatihnya, Bojan Hodak mengakui enggan terus lena dibuai mimpi susulan pencapaian cemerlang dilakar KL City dalam saingan kumpulan pertandingan bola sepak berprestij tempatan itu.

Pengendali dari Croatia itu berpendapat Selangor selaku juara 33 kali Piala Malaysia mempunyai kelebihan dalam aksi suku akhir itu kerana skuadnya masih sebuah pasukan yang baharu bangkit dalam kancah Liga Malaysia dan tidak mahu memberikan tekanan kepada anak buahnya selepas mara ke peringkat lapan terakhir itu.

“Kami bukan pasukan pilihan untuk menang dengan Selangor biarpun ramai melihat prestasi KL City cukup baik setakat ini di saingan Piala Malaysia.

Selangor ada kelebihan dari segi pilihan pemain kerana mempunyai barisan simpanan berbanding dengan KL City yang punyai sebuah skuad yang kecil,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan aksi sengit dijangka berlaku dalam perlawanan suku akhir yang dijalankan secara timbal balik itu selepas rekod kesemua pertemuan antara kedua-dua pasukan sepanjang musim ini termasuk satu perlawanan persahabatan, berakhir dengan keputusan seri.

Selangor akan menjadi tuan rumah bagi aksi pertama suku akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Nov ini manakala KL City pula akan menjadi hos aksi kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 18 Nov.

– BERNAMA