Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor komited seimbang kesaksamaan gender dalam pembentukan dasar

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri komited mewujudkan keseimbangan gender dalam pembentukan dasar dan pembangunan negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi Projek Pengarusperdanaan Gender (GM) yang bermula sejak tahun lalu kini dilaksana secara holistik bagi membangun ekosistem yang lebih baik.

“Pelaksanaannya bukan tertakluk kepada program dan struktur pegawainya tetapi bagaimana hendak membentuk sikap, nilai dan jati diri dalam kehidupan.

“Disini bermula titik penting pada perubahan dan bukan hanya pada slogan, mendapat liputan akhbar tetapi ia merupakan program yang menghormati wanita dan perbezaan gender yang dipraktikkan,”katanya.

Terdahulu, Amirudin menyampaikan watikah lantikan kepada 17 pegawai Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Pengarusperdanaan Gender sesi 2021/2022 di Foyer SUK hari ini.

Pelaksanaan tahun kedua Pengarusperdanaan Gender pada kali ini melibatkan portfolio pendidikan di bawah Amirudin, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau.

Amirudin menyerahkan watikah lantikan itu diiringi EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki.

Selangor menjadi negeri pertama melaksanakan pengarusperdanaan gender untuk mempromosi hak dan menangani diskriminasi terhadap wanita.

Sejumlah RM1.8 juta diperuntukkan bagi menggiatkan lagi program pengarusperdanaan gender agar golongan wanita dapat memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negeri ini.