Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor laksana e-dompet, wujud masyarakat tanpa tunai

SHAH ALAM, 26 NOV: Selangor akan melancarkan perkhidmatan e-dompet awal tahun depan bagi mewujudkan komuniti nirtunai (tanpa tunai).

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut mempunyai kumpulan pasaran (captive market) selaku Super App.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Selangor e-Wallet Sdn Bhd ditubuhkan untuk menjalankan usahasama dengan syarikat e-dompet sedia ada.

“(Ia) lengkap dengan lesen pinjaman wang dikeluarkan bank negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta saiz e-dompet sebanyak RM10,000,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Super App e-dompet akan mengumpulkan semua perkhidmatan urusan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan anak syarikat yang dikawal selia Citizen e-Payment (Cepat) milik Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Katanya, ia turut merangkumi perkhidmatan kebajikan disalurkan kepada rakyat dan mewujudkan pasaran dalam talian untuk pendigitalan perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mikro.

“Ini akan membolehkan penerima program Iltizam Selangor Penyayang seperti Bingkas, Iltizam Selangor Sihat, Skim Mesra Usia Emas terdiri daripada pelbagai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbeza seperti Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dan Selgate Corporation disalurkan melalui aplikasi tersebut.

“Aktiviti seperti pembayaran cukai dan hasil kerajaan tempatan serta pembayaran tanpa tunai parkir boleh dilaksana melalui platform tersebut yang memudahkan urusan serta menjimatkan masa golongan memerlukan,” katanya.