Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor pinda Undang-Undang Tubuh, benar 18 tahun bertanding pilihan raya

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk menurunkan umur warganegara layak bertanding dalam pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun.

EXCO generasi muda berkata pindaan itu akan dilakukan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) mulai 26 November yang turut membabitkan pembentangan Belanjawan 2022.

“Pindaan dibuat dalam sidang DNS akan datang ini adalah tanda Kerajaan Negeri mendukung inspirasi penuh dan pembangunan belia di Selangor untuk masa depan.

“Oleh sebab itu, sebagai permulaan kita mengadakan program seperti Town Hall Undi 18 dengan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia untuk mendengar pandangan mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui pada program TownHall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi 18 Selangor yang turut dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Jubli Perak hari ini.

Mohd Khairuddin berkata pihaknya akan mendekati golongan belia di setiap daerah dengan melibatkan persatuan belia pada tahun depan untuk memupuk minat dalam politik.

“Kita akui minat golongan belia dalam politik rendah dan cara Kerajaan Negeri mendekati mereka ini dengan menganjurkan program-program tertentu,” katanya.