Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor tawar banyak rancangan pasca wabak kepada pelabur asing

Oleh Alang Bendahara

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Kedudukan Selangor sebagai gedung ekonomi negara harus dimanfaatkan pelabur asing untuk menerokai pasaran Asean.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri ini menawarkan banyak rancangan pasca wabak kepada mereka untuk menembusi pasaran Asean dan antarabangsa.

“Menyokong kedudukan sebagai Gerbang Ke Asean, Selangor adalah lokasi strategik hab ekonomi dalam negara dengan dua lapangan terbang antarabangsa utama, pelabuhan kontena kedua tersibuk, pelbagai rel domestik termaju serta hubungan jalan raya dan udara.

“Selain itu, rantaian dalam pelbagai industri luar dan dalam talian yang kukuh serta sokongan Kerajaan Negeri menjadikan Selangor ideal sebagai hab perniagaan global pelabur asing.

“Selangor menawarkan kelebihan yang tidak terkira kepada pelabur asing untuk mereka menembusi pasaran Asean dan antarabangsa,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Amirudin SIBS 2021, persidang tahunan anjuran Kerajaan Negeri, merupakan cara utama membolehkan peniaga Asean dan antarabangsa untuk berhubung bagi mengetahui peluang yang ada di negeri ini.

“Sudah tiba masanya untuk pemulihan dan penciptaan semula ekonomi, bukan sahaja untuk Selangor malah untuk semua rakan kita di Asean dan dunia.

“SIBS 2021 akan meneruskan peranan sebagai salah satu sidang perniagaan utama rantau Asean, di mana pemain industri tempatan dan antarabangsa boleh bersidang untuk meneroka potensi besar pasaran Asean,” katanya.

Bercakap mengenai potensi Asean dalam pemulihan ekonomi pasca pandemik, Amirudin berkata rantau itu kekal sebagai destinasi menarik bagi pelabur asing.

“Walaupun berdepan masalah, pakar masih menganggap Asean mempunyai potensi besar untuk menerajui pemulihan FDI (pelaburan langsung asing) serantau, disebabkan asasnya yang kukuh ke arah integrasi ekonomi dalam dan antara wilayah.

“Faktor utama lain yang menjadikan Asean destinasi pelaburan yang menarik termasuk penduduk mudanya, ekonomi berdaya tahan dan kelas pertengahan yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata keyakinan pelabur kembali ke rantau ini apabila bahagian pelaburan langsung asing (FDI) global meningkat daripada 11.9 peratus pada 2019 kepada 13.7 peratus pada 2020.

Sementara pelaburan dalam Asean meningkat lima peratus kepada AS$23 bilion, melonjakkan bahagian intra-Asean FDI di rantau ini daripada 12 peratus kepada 17 peratus.

“Angka-angka ini sememangnya petanda yang sangat menggalakkan bagi ekonomi Asean. Tetapi penting juga untuk mengenali kisah di sebalik angka ini, bahawa ekonomi dan rakyat kita kekal berdaya tahan di tengah-tengah cabaran yang teruk.

“Pelabur juga mendapat manfaat daripada perjanjian perdagangan Asean yang lebih responsif setanding dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Inilah yang menjadikan Asean teguh, progresif dan makmur. Ketika dunia membuka semula ekonomi, Asean kini mempunyai peluang untuk menuntut semula kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama dunia,” katanya.

Dengan tema ‘Selangor Gerbang Ke Asean’, persidangan itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 18 hingga 21 November dalam format hibrid.

Persidangan edisi ke-5 sejak diperkenalkan pada 2016 itu menghimpunkan jenama global dan mengumpul pemain industri dari seluruh dunia.

Acara fizikal berkenaan menampilkan kira-kira 500 gerai, manakala bentuk mayanya boleh diakses melalui www.selangorbusinesshub.my dan akan mempamerkan kira-kira 800 gerai.