Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selvax Komuniti di klinik panel Selcare bermula hari ini

SHAH ALAM, 1 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti diteruskan di klinik panel Selcare di negeri ini dan Perak bermula hari ini.

Ia bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir dan terlepas mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Program tersebut melibatkan lokasi di Kajang, Batang Kali, Kuala Selangor, Sungai Besar, Ampang, Bandar Mahkota Cheras, Bukit Changgang, Puchong, Gombak dan Tanjung Malim, Perak.

Menerusi maklumat dikongsi Facebook EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, ia terbuka kepada warganegara dan bukan warganegara yang menetap di negeri ini.

Mereka berusia 12 tahun ke atas yang masih belum menerima janji temu untuk dos pertama serta golongan yang terlepas dos kedua boleh menyertai program itu.

Orang ramai yang ingin turut serta diminta membuat pra daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang VAX dan masukkan kod baucar yang betul serta hantar ke: https://bit.ly/3k2mUHo

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.