Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selvax Remaja di Taman Templer Ahad ini, Banting minggu depan

SHAH ALAM, 12 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja diteruskan hujung minggu ini dan minggu depan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dan Banting.

Maklumat dikongsi menerusi Facebook EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, program bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari itu sebagai langkah memastikan tiada warga negeri ini tercicir dari pengambilan vaksinasi Covid-19.

Bagi DUN Taman Templer program berjalan Ahad di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah manakala DUN Banting pada 21 November di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Program terbuka kepada semua individu termasuk warga asing berusia 12 tahun ke atas, belum mendapat janji temu suntikan pertama atau terlepas pelalian kedua.

Berikutan slot terhad, mana-mana individu yang mahu sertainya diminta melakukan pra-pendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar diberikan.

Proses seperti berikut:

1. Muat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)
2. Tekan butang ‘VAX’
3. Tekan butang ‘Temujanji’
4. Tekan butang ‘Semak temujanji’
5. Tekan kotak berwarna ungu
6. Masukkan kod baucar mengikut lokasi PPV berhampiran
7. Pilih ‘Tarikh’

Pada 7 Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada penerima remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka  Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.