Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sertai ekspo makanan Selangor untuk perkenal pes beridentiti Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Penyertaan Mama’s Delights di Ekspo Selangor Antarabangsa (SIE) makanan dan minuman (F&B) 2021 bertujuan memperkenalkan pelbagai pes makanan melambangkan identiti Malaysia.

Cef Eksekutif dan Pemasaran Mama’s Delights berkata produknya sudah berada di pasaran sejak lima tahun lalu tetapi promosinya terhad apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

Cef Eksekutif dan Pemasaran Mama’s Delights Iskandar Ishak

“Oleh demikian, usaha Kerajaan Negeri menganjurkan ekspo seperti ini membantu kita memperkenalkan produk kita seperti pes masakan tradisional, fusion dan nanyang kepada masyarakat tempatan.

“Selain itu, kita juga dapat mempromosikan produk ke pasaran antarabangsa kerana ekspo ini juga dihadiri pengunjung luar,” kata Iskandar Ishak.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengeluarkan pes makanan terutama kategori tradisional kerana masyarakat kurang mengetahui makanan itu disebabkan cara masakan yang susah.

“Dengan adanya pes makanan ini, mereka tidak perlu khuatir kerana ramuan lengkap dan masa memasak juga cepat,” katanya.

SIE (F&B) 2021 sebahagian program Sidang Kemuncak Perniagaan (SIBS) 2021 selama empat hari bermula 18 November yang berlangsung secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara diadakan termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.