Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang kemuncak perniagaan Selangor catat transaksi RM1.13 bilion

SHAH ALAM, 30 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) merekodkan nilai transaksi mencecah RM1.13 bilion sepanjang tujuh tahun penganjurannya, kata EXCO pelaburan.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim sejak dianjurkan pada 2015, SIBS menyediakan 2,951 tapak pameran buat peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) selain menerima 95,451 pelawat dari dalam dan luar negara.

“SIBS berjaya menyediakan satu platform perbincangan dan perkongsian maklumat kepada usahawan PKS agar dapat bersaing di pasaran antarabangsa.

“Ia juga menjadi medan pertemuan antara peserta PKS dengan rakan dan pembeli perdagangan dari dalam dan luar negara,” katanya menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Air Tawar Dato’ Rizam Ismail berhubung perkembangan SIBS.

Chang Khim berkata sidang kemuncak yang selesai dianjur secara fizikal pada 18 hingga 21 November lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyediakan 472 tapak pameran dengan 25,000 pengunjung.

Menurutnya, sidang tersebut turut diteruskan di portal perdagangan rasmi Selangor www.selangorbusinesshub.my selama setahun.

“Sidang ini kejayaan bagi Kerajaan Negeri dalam melonjakkan Selangor di persada antarabangsa. SIBS satu inisiatif dalam penjenamaan negeri sebagai hab perdagangan dunia serta gerbang bagi rantau asia tenggara.

“Justeru, kita akan meneruskan acara ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.