Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sidang meja bulat Selangor, BMCC buka peluang promosi pelaburan

PETALING JAYA, 9 NOV: Persidangan meja bulat bersama Dewan Perdagangan British Malaysia (BMCC) hari ini menjadi peluang Selangor mempromosikan sektor pelaburan ke peringkat antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu juga sebagai satu platform Kerajaan Negeri menjalankan perniagaan seiring dengan pelan pemulihan ekonomi terutama selepas penularan Covid-19.

“Program ini akan membentuk perkongsian dan perbincangan yang bermanfaat untuk kedua-dua pihak.

“Kerjasama ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia menyediakan peluang baik untuk bakal pelabur ke negeri ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di majlis yang berlangsung di Hotel Sheraton di sini.

Majlis dihadiri Pengerusi BMCC Abrar A Anwar; EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Operasi Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sementara itu, Amirudin berkata United Kingdom (UK) merupakan negara pelabur penting di Selangor sejak sekian lama selain menjadi rakan niaga ke-19 terbesar negara.

Jelasnya sepanjang 2011 hingga tahun lalu, pelaburan negara itu melebihi RM450 juta di negeri ini sekali gus mewujudkan lebih 2,100 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan.

“Antaranya syarikat AB Mauri Malaysia yang beroperasi lebih 50 tahun. Weir Minerals Malaysia di Batu Arang, Gombak dan Rolls Royce di Serendah, Rawang. Terdapat juga syarikat lain iaitu GlaxoSmithKline (GSK), Astrazaneca dan British American Tobacco (BAT) yang turut memilih negeri ini untuk pusat global mereka.

“Ini membuktikan Selangor sebagai destinasi pilihan sektor pembuatan dan pelaburan digital selain dilihat sebagai pintu menembusi pasaran Asia,” katanya.