Categories
AGENDA NASIONAL

Siti Nurhaliza antara 28 pempamer sidang bandar pintar Selangor

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin antara 28 pempamer yang mengambil bahagian dalam Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini, pelantun lagu Percayalah itu mempamerkan beberapa produk keluaran syarikatnya CTDK Holdings.

Antara barangan dipamerkan termasuk kosmetik, BeauSiti, tudung Afiya dan cecair pembasmi kuman. Suaminya Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa turut serta dalam pameran itu.

Selain mencuri tumpuan ramai, gerai pameran Siti Nurhaliza turut dikunjungi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang merasmikan konvensyen itu.

Hadir sama EXCO Perdangan Dato’ Teng Chang Khim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor Yong Kai Ping.

SDEC 2021 berlangsung seiring Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, mulai 18 hingga 21 November secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

Acara lain termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor dan Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.