Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Smart Selangor perkenal dua inisiatif baharu tahun depan

SHAH ALAM, 12 NOV: Tiga inisiatif baharu akan diperkenal di bawah program Smart Selangor dengan dua daripadanya bermula awal tahun depan.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata e-kupon parkir antara inisiatif yang akan bermula 1 Januari nanti bagi menggantikan penggunaan kupon kertas dan mesin syiling untuk membayar parkir.

“Pengguna boleh membayar menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ataupun e-kupon yang bakal diperkenalkan nanti.

“Satu program latihan dan lantikan ejen-ejen e-kupon sedang dilaksana di setiap kawasan PBT (pihak berkuasa tempatan) agar ejen-ejen kupon kertas ini dapat dilatih untuk menjadi ejen e-kupon pula,” kata Dr Fahmi Ngah menerusi temu bual di Utusan Malaysia.

Beliau berkata satu lagi program yang akan dilaksana awal tahun depan ialah program kitar semula berbayar.

“Program ini akan membolehkan penduduk menawarkan bahan kitar semula terpilih untuk dibeli oleh pengusaha-pengusaha bahan kitar semula setempat menerusi suatu aplikasi,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata pihaknya juga berhasrat memperkenal motosikal elektrik (e-bike) yang boleh disewa awam.

“Langkah ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran bandar rendah karbon dengan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik.

“Ia akan dimulakan untuk peringkat awal di Shah Alam dan Cyberjaya dengan sasaran sebanyak 200,000 motosikal elektrik menjelang 2025,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekaligus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.