Categories
AGENDA NASIONAL

SSDU capai 60 peratus pembangunan inisiatif pelan tindakan pintar

SHAH ALAM, 11 NOV: Sebanyak 60 peratus daripada 60 inisiatif dicadang dalam Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 telah dibangunkan, kata pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Dr Fahmi Ngah menerusi temu bual di Utusan Malaysia memaklumkan program direncanakan seawal 2016 kini telah mencapai tahap 35 peratus bagi pelaksanaannya di seluruh negeri.

Katanya, bagaimanapun pelaksanaan itu sedikit terbantut akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang 2020 dan 2021.

“Antara contoh awal inisiatif Smart Selangor dilaksanakan di seluruh Selangor adalah penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang hari ini mempunyai sejumlah 1.8 juta pengguna.

“Penggunaan sistem Intelligent Response Selangor (i-RS) oleh 39 entiti Kerajaan Negeri untuk pengurusan pelaporan dan
penampalan jalan berlubang yang menggunakan kaedah pelaporan awam dari pelbagai saluran seperti panggilan telefon, Waze dan sebagainya,” katanya.

Fahmi berkata inisiatif lain turut dilaksana seluruh Selangor termasuk penggunaan aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) yang memaklumkan waktu ketibaan bas Smart Selangor di perhentian bas.

“Setakat ini orang ramai menyambut baik dan menggunakan aplikasi serta kemudahan ini. Sebagai contoh, aplikasi SSP sahaja mempunyai 1.8 juta pengguna di kawasan bandar dan luar bandar.

“Perhentian bas Smart Selangor juga mencatatkan jumlah pengunjung seramai 600 orang sehari sebelum tercetusnya pandemik Covid-19,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang diberi mandat menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.