Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sumbangan tablet mudahkan lima beradik yatim piatu ikuti PdPR

SHAH ALAM, 3 NOV: Sumbangan tablet kepada lima beradik yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 akan dimanfaat untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bapa saudara mereka, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 36, berkata, empat anak saudaranya berkongsi komputer riba kepunyaan arwah bapa mereka untuk belajar dalam talian.

“Mereka mempunyai telefon bimbit sendiri tetapi sudah lama dan sering kehabisan bateri.

“Dengan adanya sumbangan tablet dan kad sim percuma, mereka tidak perlu lagi berkongsi dan kos membeli data juga berkurangan,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kerana sudi memberi sumbangan tersebut.

Semalam, Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor melawat Muhammad Hadhrami, 11; Husna Humaira, sembilan; Muhammad Harraz, lapan; Muhammad Hawwas, enam dan Hannan Humaira, tiga, yang kehilangan bapa Mohd Nasir Tahal, 46, pada 11 Ogos.

Manakala, ibu mereka Ida Haryanie Abdul Razak, 38, menghembus nafas terakhir pada 8 Oktober lalu selepas 64 hari ditidurkan di Hospital Putrajaya.

Mereka kini dijaga datuk dan nenek Abdul Hamid Basirun, 67 dan Kintan Sulaiman, 63.