Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Talian khas SELamat mula terima aduan kes keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 5 NOV: Talian khas SELamat mula menerima aduan berhubung keganasan rumah tangga sejak beroperasi Isnin lalu.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata pihaknya merujuk kepada polis dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tindakan lanjut.

“WBS bergerak dalam model kolaborasi dan satu ekosistem iaitu jika pemanggil memerlukan intervensi tambahan akan dirujuk kepada rakan kerjasama seperti jabatan Kerajaan Negeri, polis atau NGO bergantung kepada kes.

“Selain keganasan rumah tangga, kes lain diterima berkaitan pemberian vaksin dan bantuan Kerajaan Negeri,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga mengadakan mesyuarat bersama Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia berhubung perkhidmatan kaunseling.

“Kita kerjasama untuk merujuk kepakaran mereka dalam khidmat kaunseling sekiranya pemanggil memerlukan intervensi psikologi,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.