Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Talian SELamat adu keganasan rumah tangga beroperasi hari ini

SHAH ALAM, 3 NOV: Talian khas aduan isu keganasan rumah tangga di Selangor atau SELamat mula beroperasi hari ini, maklum EXCO pembangunan wanita.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata mangsa yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi talian 03- 6419 5027 dan mengemukakan masalah mereka.

“Talian SELamat ialah zon selamat dan selesa untuk berbicara mengenai situasi anda alami. Ceritalah, Skuad SELamat sedia mendengar dan bertindak,” katanya di Facebook hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama sokongan kumpulan sukarelawan.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri turut melancarkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu orang ramai meluahkan tekanan yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik.