Categories
AGENSI SELANGOR

Talian SELamat beri bantuan segera, operasi 24 jam

SHAH ALAM, 10 NOV: Talian khas SELamat beroperasi 24 jam bagi membolehkan bantuan diberikan kepada pemanggil dengan kadar segera.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata talian dikendalikan kakitangan pejabatnya bermula jam 9 pagi hingga 5 petang manakala selepas waktu itu panggilan diterima oleh sukarelawan.

“Setakat ini kita menerima pelbagai jenis panggilan selain keganasan rumah tangga iaitu berkaitan bantuan Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan yang boleh mereka hubungi.

“Menerusi talian ini, kita mahu mencipta ekosistem Kerajaan Negeri bersama agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) terutama melibatkan keganasan rumah tangga,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian watikah lantikan pegawai Kumpulan Tumpuan Gender (GFT) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (GFP) Projek Pengarusperdanaan Gender sesi 2021/2022 di Foyer SUK hari ini yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Talian khas SELamat dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga dan masyarakat boleh menghubungi di talian 03-64195027.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.