Categories
AGENSI SELANGOR

Tamat kontrak syarikat terbabit insiden ‘kanvas’ terbang jika gagal patuh SOP

SHAH ALAM, 4 NOV: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat sub kontraktor terbabit insiden kanvas ‘terbang’ yang menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Damansara-Puchong, Rabu lalu.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata tindakan termasuk menamatkan kontrak syarikat terbabit akan diambil sekiranya pihak berkenaan gagal mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Jelasnya, KDEBWM menitik berat berkaitan isu pematuhan operasi dan menghargai komitmen orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor.

“Kami akan terus memastikan perkhidmatan tersebut mengikut SOP agar insiden ini tidak berulang pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ramli berkata pihaknya berterima kasih kepada pengguna yang melaporkan kejadian membabitkan lori sampah milik syarikatnya serta seorang penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurutnya, kejadian itu berpunca disebabkan pengikat kanvas telah terputus dan menghalang penunggang serta pembonceng berkenaan sebelum mengalami kemalangan.

Jelas Ramli, KDEBWM kesal dengan kejadian itu dan tindakan tegas telah diambil kepada pihak terbabit yang turut diarahkan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang esok.

“Segala urusan perubatan dan ganti rugi baik pulih kenderaan juga telah diselesaikan, kedua-duanya sedang menjalani rawatan.

“Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan serta tindakan mengikut undang-undang kes ini kepada polis,” katanya.