Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor anjur kursus untuk orang ramai bersedia hadapi banjir

SHAH ALAM, 19 NOV: Sukarelawan Team Selangor meneruskan aktiviti memelihara alam sekitar dengan menumpukan kepada kursus persediaan menghadapi bencana banjir.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata program membabitkan empat daerah bermula di Kuala Selangor minggu lalu mendidik masyarakat bersedia berdepan bencana itu kerana bantuan luar adakalanya agak lewat.

“Justeru, timbul idea untuk melengkapkan komuniti dengan sedikit pengetahuan kerana tindakan pantas dalam kalangan mereka penting bagi mengurangkan risiko melibatkan harta benda dan nyawa,” katanya kepada SelangorKini.

Selepas ini, kursus sama diteruskan di Hulu Selangor pada esok dan Ahad ini diikuti Hulu Langat serta Klang pada tarikh yang akan ditentukan nanti.

Syahaizel berkata program dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu turut membabitkan 30 peserta Team Selangor bagi setiap daerah.

Selain kursus bencana banjir, turut diadakan program e-sukan dan pembersihan pantai di Selangor.

Pada 3 Oktober Team Selangor memilih Pantai Remis sebagai lokasi pertama menjayakan aktiviti kutip sampah di kawasan tumpuan ramai.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 10 kawasan lagi untuk melakukan aktiviti sama sehingga penghujung Disember.