Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Amir Shah cemar duli rasmi sidang perniagaan 2021

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, hari ini.

DYTM Tuanku mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj merasmikan sidang kemuncak yang berlangsung sehingga 21 November secara hibrid dan fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Turut hadir ke sidang kemuncak itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim.

Menurut Amirudin inisiatif tahunan itu merupakan satu daripada sidang kemuncak perniagaan terulung rantau Asean yang mengumpulkan pemain industri tempatan dan antarabangsa.

“SIBS 2021 merupakan peluang kepada pelabur untuk menghubungkan dan memperluas jaringan perniagaan dan ia amat penting ketika persekitaran ekonomi yang semakin mencabar hari ini.

“Melalui pelbagai persidangan dan pameran, SIBS 2021 akan membentangkan peluang pertumbuhan yang terdapat di negeri ini terutamanya dalam lima kluster teras Selangor,” katanya.

Jelas Amirudin, lima kluster teras itu termasuk rangkaian industri, aeroangkasa hingga farmaseutikal yang mempunyai potensi tertinggi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam tempoh terdekat serta masa depan.

“Selain itu, kluster makanan dan minuman (F&B) merupakan salah satu industri yang paling pesat berkembang terutamanya pasaran halal yang berpotensi memacu ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Sebanyak RM11 juta diperuntuk bagi SIBS 2021 meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

SIBS 2021 turut menampilkan lima pameran berlainan selain tiga persidangan antarabangsa dengan penglibatan sekurang-kurangnya 150 peserta bagi setiap acara.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur dan memimpin sidang tersebut secara maya pada 14 hingga 17 Oktober tahun lalu dengan mengumpulkan pemain industri utama.

Acara diadakan termasuk Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor.