Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Terjual ribuan bungkus sehari, tuah ‘nasi terbang’

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 1 NOV: Bergenang air mata usahawan Azwan Anuar, 43, menyaksikan iklan lelongan rumah di Shah Alam, kediamannya sendiri yang dibeli sejak 2006.

Akibat gagal membayar pinjaman bank RM500,000, rumah yang dipajak pada 2013 demi melonjakkan perniagaaan, menjadikan dirinya kusut.

Buntu memikirkan cara mendapatkan secupak beras dan mungkin, telur sebiji dua. Beliau menebalkan muka meminjam daripada rakan-rakannya. Dapat RM10 pun jadilah. Asal perut anak-anak terisi, boleh hantar mereka ke sekolah.

Kehidupannya tidak terurus. Tidur pun mengigau, bingung memikirkan – di mana mahu cekau duit? Lulusan Pentadbiran Perniagaan Universiti Tenaga Nasional itu terpaksa korek sana sini untuk bayar sewa rumah dan sesuap nasi.

“Mahu cerita dengan orang, malu. Ibu dan bapa pun tidak tahu. Sampai sekarang mereka ingat saya ada duit banyak jual rumah tetapi mereka tidak tahu rumah kena lelong,” katanya.

Itu lapan tahun lalu. Kini, Azwan senang dengan perniagaan nasi kapal terbang. Bangkit hasil dorongan semangat keluarga dan kawan rapat.

Berkonsep ‘masak di Kelantan, makan di Lembah Klang’, beliau kini membekal lebih 8,000 bungkusan makanan sehari kepada pelanggan.

Sebenarnya, Azwan mula menceburi perniagaan sejak 2006 dengan membekal cenderamata premium, pencetakan dan beberapa produk secara kecil-kecilan.

Selepas dua tahun, beliau bersama rakan menceburi perniagaan penyedia perisian. Berbekal kejayaan memperoleh kontrak kecil beberapa syarikat swasta, beliau cuba memenangi kontrak sebuah syarikat perkapalan terkemuka.

Kontrak RM2.5 juta

Usahanya berhasil. Azwan ditawar kontrak bernilai RM2.5 juta bagi menyediakan perisian syarikat itu. Untuk memastikan modal cukup, beliau membuat pembiayaan semula rumahnya.

Wang itu untuk menyewa dan ubah suai pejabat, membeli perkakas elektronik teknologi maklumat berkuasa tinggi, pelayan internet, membina pangkalan data dan menggaji pekerja.

Azwan Anuar

Sekitar tahun 2010, memang banyak syarikat swasta dan kerajaan mula menggantikan dokumen fizikal kepada digital.

“Beberapa kali saya dapat kontrak bekalkan perisian kecil-kecilan dengan syarikat perkapalan ini, semuanya lancar. Ini mendorong saya berani pajak rumah untuk dapatkan kontrak RM2.5 juta untuk sistem perisian syarikat. Malangnya syarikat perkapalan itu rugi besar dan tumbang,” katanya.

Selepas kontrak yang hampir dalam genggaman lesap pada 2009, Azwan hanya bergantung kepada kontrak kecil-kecilan. Namun, tidak cukup untuk menanggung beban pembiayaan hingga perniagaannya lingkup.

Akibat tidak mampu membayar sewa unit pangsapuri di Shah Alam sebanyak RM900, Azwan dan keluarga sekali lagi berpindah pada 2016. Kali ini menyewa unit pangsapuri kos rendah di USJ. Ketika itulah beliau memulakan perniagaan nasi kapal terbang.

Tebalkan muka

Azwan mula menjual nasi kapal terbang atas cadangan rakan-rakan. Nama itu dicetuskan selebriti terkenal Kelantan menerbangkan nasi bungkus dengan kapal terbang seminggu sekali untuk pasaran Lembah Klang.

Bermodal RM600 yang dipinjam daripada rakan, Azwan membeli 200 bungkus Nasi Kak Cik di Tumpat, Kelantan dan RM70 lagi untuk upah tumpang bawa barang dengan bas ekspres dari Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Tebal muka cari modal pinjam sana-sini. Maklumlah orang banyak meminjam, tidak dipercayai tetapi ada juga bagi pinjam,” katanya.

Sambutan nasi Kak Cik di Lembah Klang menggalakkan. Mendorongnya tambah menu antaranya nasi air dingin, nasi Tumpat, nasi kerabu Azma, nasi tumpang, nasi kerabu Pak Long. Semuanya hidangan popular di Kelantan.

Kini, Azwan membekal kira-kira 8,000 bungkus sehari nasi berharga RM5.50 hingga RM6 sebungkus di Lembah Klang. Daripada perkhidmatan bas ekspres, beliau beralih menggunakan dua van.

Bertolak dari Kelantan jam 12 malam, bekalan tiba di Taman Melati, Gombak sekitar jam 6 pagi sebelum diedar ke seluruh penjual di Lembah Klang.

Pada 2020, beliau menceburi perusahaan cendawan tiram. Pada masa sama, beliau melatih 400 peserta Hijrah Selangor sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Memandangkan peserta terdiri daripada asnaf fakir dan miskin serta isi rumah berpendapatan rendah, Azwan membantu mereka menerusi penanaman cendawan dengan bekerjasama dengan Oyster Mushroom Resources yang berpengalaman dalam bidang itu.

Fasa pertama projek dibuat di tapak semaian di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat membabitkan 150 peserta pertama. Tapak itu dijangka mengeluarkan hasil pertama Disember ini. Kira-kira 30,000 bongkah cendawan sebulan dijangka dapat dikeluarkan.